Thursday 1 January 2015

Tapi Bukan Aku 2

Tahun 2013

“Aku taknaklah, Aisyah. Tak maulah paksa. Isk! Tak sukalah!”bebel Alya. Dia bersandar di tepi tingkap. Kenapa payah sangat Aisyah nak faham yang dia taknak. Dia taknak! Titik! Noktah!
               
Aisyah sudah menggelengkan kepala. Pening melayan kerenah Alya. Semalam, Alya juga yang bersungguh telefon suruh dia datang ke rumah. Tak tahu nak buat keputusan. Mahu Aisyah membantunya. Alih-alih, berubah fikiran pula. Ada yang makan senduk ni karang!
               
“Apa masalah kau ni, Al? Aku ni, dari pejabat terus ke sini. Kau juga kata nak pergi dinner dengan Encik Aman. Tiba-tiba tak mahu. Kenapa?”Aisyah sudah panas hati. Lengan baju kurungnya sudah dilipat hingga ke paras siku.
             
“Aku taknak. Aku…aku takut! Ala, sorrylah Aisyah. Aku bukan sengaja.”
“Banyak kau punya sorry. Eh, laki aku kat rumah tu nak makan tau tak. Kau ni!”
“Memanglah semalam aku rasa nak pergi. Tapi…”
“Tapi tak jadikan? Kau selalu macam ni tau, Al.”

Aisyah melabuhkan duduk di tepi katil. Dia tahu, pasti ada sesuatu yang mengganggu sahabatnya sehinggakan apa yang dirancangkan sejak seminggu lalu dibatalkan begitu sahaja. Alya bukan orang yang begitu.

“Al, cuba beritahu aku. Kau kenapa?”
“Kenapa apa?”
“Al, aku kenal kau. Mesti ada sebab.”
               
Alya mengambil tempat di sebelah Aisyah. Dia menekur lantai. Nafas dihela perlahan. Aisyah kawan baiknya sejak alam persekolahan. Tiada apa yang dapat dia selindungkan daripada pengetahuan Aisyah.

“Kau rindu dia eh Al?”tebak Aisyah. Bahu gadis itu dipaut rapat. Alya merebahkan kepalanya di bahu Aisyah. Syukur dia masih punya teman yang memahami. Tanpa sedar, air matanya mengalir perlahan. Rasanya sudah lama dia tak menangis. Tapi hari ini, hatinya rasa sempit. Rasa tak tertahan lagi.
               
“Jangan macam ni, Al. Kau tahu kan yang aku selalu ada untuk kau.”pujuk Aisyah lagi. Jarang-jarang dia lihat Alya menangis begini. Entah sesuatu apa yang dah mengusik hati sahabatnya ini.
               
“Aku tak pernah lupakan dia, Aisyah. Kau sendiri tahukan macam mana aku sayangkan dia. Dulu, masa di universiti pun bukan aku tak pernah move on. Tapi aku tak boleh. Aku macam nampak dia kat setiap sudut, tengah perhatikan aku. Sakit. Sakit sangat.”luah Alya perlahan.
               
Air mata di wajahnya diseka. Dia tidak tahu cara bagaimana lagi mahu diubati sakitnya ini. Bukan tak cuba. Tapi tak mampu. Mahu dimulakan langkah, sudah terduduk. Mahu bangun berdiri, sakitnya tak terhingga di hati. Hingga ada waktu dia merasakan seolah memang bahagia itu tak pernah wujud dalam hidup sejak orang yang dia cinta sepenuh hati pergi tak kembali.
               
Seolah separuh hatinya juga dibawa pergi!
               
Aisyah mendakap tubuh Alya erat. Dalam hatinya berdoa semoga sahabatnya ini bertemu dengan cinta sejatinya suatu hari nanti. Cukuplah kesakitan yang Alya tanggung selama ini.
               
“Dah, kau pergi siap. Dah bagitahu Encik Aman kau tak jadi keluar dengan dia?”tanya Aisyah.
               
Alya mengangguk laju. Tadi, sebelum Aisyah sampai lagi dia sudah menghantar mesej kepada Encik Aman memberitahu yang dia terpaksa membatalkan makan malam mereka dengan alasan dia tidak berapa sihat. Mujur saja Encik Aman tak kisah. Dia siap balas suruh Alya jaga diri baik dan jangan lupa makan ubat. Rasa macam kanak-kanak sangat!
               
“Kau bersiap, ikut aku balik rumah aku eh? Esok Sabtu. Tidur rumah aku boleh? Lagipun Lan kena kerja luar minggu ini. Kau teman aku eh?”pelawa Aisyah.
               
Sejak tadi lagi dia sudah memikirkan idea ini. Dia bimbang sekiranya dibiarkan Alya di rumah sendiri nanti, bukan-bukan pula yang dibuatnya.
               
Alya hanya mengiakan. Sebuah beg yang selalu digunakan untuk mengisi pakaiannya sekiranya ingin pergi bercuti dicapai. Beberapa helai pakaian yang diperlukan di masukkan ke dalamnya. Beg kecil berisi keperluan mandian juga diletakkan sekali. Selepas itu, beg tangan yang diletakkan di atas meja dicapai. Telefon bimbit dan beg duit di masukkan. Komputer riba di atas katil dikemas lalu dimasukkan ke dalam beg khas untuk komputer ribanya itu.
              
“Okay, siap! Jom!”
“Kau nak duduk rumah aku sebulan eh, Al?”
“Kenapa?”
“Packing barang macam nak tinggal rumah aku terus.”
“Kejam tau kau ni!”
               
Selepas memastikan semuanya sudah berkunci, Alya mengikut Aisyah hingga ke kereta yang diletakkan di parking lot di bawah rumah Alya. Aisyah yang tidak membenarkan dia membawa keretanya. Alya hanya menurut. Baru sahaja enjin kereta dihidupkan, telefon bimbit Alya bordering. Nama yang terpapar di skrin membuatkan darah Alya dipam dengan lebih laju. Encik Aman!
              
“Assalamualaikum.”
“Saya nak keluar ini, Encik Aman. Kenapa?”
“Nak jumpa?”
“Kat mana?”
“Hah?!”
               
Ditoleh kepalanya ke sebelah kanan, Encik Aman sedang bersandar di sisi keretanya, tersengih sambil melambaikan tangan ke arahnya. OMG!


Alya menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Macam mana dia tau aku kat sini? Rasanya aku tak cakap pun aku tinggal kat mana. Ah, kusut!

“Nak pergi mana Alya? Kata tak sihat?”tanya Encik Aman sebaik saja Alya menghampirinya. Senyuman manis dihadiahkan.

Tadi, sebaik saja Encik Aman menerima mesej daripada Alya yang dia tidak sihat, dia terus bergegas ke sini. Bukan dia tidak ada alamat rumah Alya. Dia ada orang-orang yang boleh dipercayai. Alya pula sudah terkulat-kulat di hadapannya. Pasti dia tidak menyangka kehadiran majikannya ini di sini.
               
“Sa..saya…err..nak pergi rumah kawan saya. Dia risau saya tinggal seorang kat rumah. Erm…kenapa encik datang rumah saya ni?”
               
“Nak melawat,”balas Encik Aman sambil matanya tepat menikam ke dalam anak mata Alya. Seketika, mereka seperti hanyut ke daerah lain. Kacaknya dia ni! Single lagi ke?
              
 Bunyi hon yang bertalu menyedarkan Alya. Aduh! Macam mana boleh terleka ni. Malu, malu! Alya mengangkat lima jarinya ke arah Aisyah meminta dia menunggunya lima minit lagi.
               
“Saya dah kena gerak. Err…encik bolehlah balik. Tak elok berembun,”kata Alya serba salah. Isk! Takkan nak halau. Kacaulah dia ni. Aku nak cepat, dah jadi lambat. Alya buat-buat membelek jam di pergelangan tangan. Orang kata, ini bahasa tubuh yang paling mudah nak faham.
              
“Ye lah. Awak jaga diri, Alya. Apa-apa bagitahu saya. Selamat malam.”
“Selamat malam. Terima kasih sebab datang sini. Saya pergi dulu.”
“Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.”
               
Alya segera berlari menuju ke kereta. Tidak betah berlama-lama di hadapan majikannya itu. Debar yang dia rasa, lain macam. Dengan pandangan mata Encik Aman yang semacam. Mana boleh tahan!
               
Sebaik sahaja Myvi yang dipandu Aisyah beredar meninggalkan parking lot itu, telefon bimbitnya dikeluarkan lalu satu nombor ditekan. Berdering seketika sebelum panggilan di sebelah sana bersambut.
               
“Aku dah jumpa dia. Thanks bagi alamat. Ya. Nanti kita jumpa. Thanks, bro!”bibir Encik Aman mengukir senyum sumbing. Hati yang mula merasa sesuatu ini, perlu dilakukan sesuatu. Dia takut bunga dikejar, dipetik orang. Atau paling dasyat, sudah dimilik orang.
               
Sasau aku nanti! 


Friday 26 December 2014

Tapi Bukan Aku 1



Tahun 2008

Tanah yang masih merah itu dipandang sepi. Bunga-bunga yang ditabur sebaik sahaja talkin selesai dibacakan diramas perlahan. Air mata pula sudah lama kering di pipi. Ahli keluarganya sudah lama pulang ke rumah. Cuma dia yang masih berteleku di situ tak mahu berganjak pergi. Tadi diajak pulang bersama namun dia minta ditinggalkan di situ sendirian.

                Alya mendongak ke langit. Dilihat langit yang tadinya cerah juga sudah mula gelap. Bila-bila masa saja hujan bakal turun.

                “Afnan, kenapa pergi?”bisik Alya perlahan.

                “Saya sunyi.”Tambahnya lagi.

              “Janji awak takkan tinggalkan saya mana, Afnan? Kenapa Afnan? Siapa lagi yang tinggal untuk saya?”luahnya dengan linang air mata. Sejak tadi, rasanya dia punya banyak persoalan yang ingin ditanyakan. Namun tak terluah. Matanya dipejam rapat. Satu persatu kenangan mereka berdua terlayar di minda. Sakit. Hanya itu yang mampu disimpulkan.

                Sementara itu, awan gelap tadi sudah mula menitiskan hujan yang makin lama semakin lebat. Alya langsung tidak mempedulikannya.

                “Al, jomlah balik. Dah lebat ni hujan.” Aisyah, teman rapatnya sejak kecil datang bersama sekaki payung lalu memayungi Alya yang sudah kebasahan. Hiba hatinya melihat sahabat paling rapatnya itu berkeadaan begitu. Dia melutut di sebelah Alya. Bahu Alya dipaut lalu diusap perlahan.

                “Aku tak tau macam mana aku nak lalui hari-hari aku lepas ni Aisyah. Aku dah cuba. Tapi sakit. Kat sini. Sakit sangat.”Telapak kanannya diangkat lalu ditekap ke dada kiri. Air matanya kian lebat. Langsung tidak pernah terlintas dia akan melalui keadaan begini, di usia ini.

                Bahu Alya dipaut lebih erat. Tiada perkataan yang mampu diucapkan buat memujuk gadis ini. Dia sendiri terkejut dengan apa yang berlaku. Segalanya terlalu pantas. Mujur saja tunangnya, Jazlan cuma patah kaki kanan. Kalau tidak sudah pasti mereka berdua yang meraung di sini dan entah siapa yang mahu datang menenangkan.

                “Kalau Afnan tengok kau macam ni Al, mesti dia sedih. Kau kan kuat. Kau mampu. Tak kisah apa pun yang berlalu lepas ni, aku yakin kau mampu lalui dengan tabah. Jangan macam ni Al,”pujuk Aisyah lembut dengan harapan kata-kata semangat yang dititipkan mampu meresap masuk ke sanubari Alya.

                Alya hanya mematungkan diri. Dia dengar apa yang dikatakan Aisyah. Dan dia sedar yang gadis itu berusaha untuk menenangkan hatinya. Tapi, dia tak mampu. Dalam keadaan begini, pakar motivasi apa pun cuba yang menasihatinya, pasti tak berhasil. Air mata yang mengalir tak mahu berhenti. Esaknya semakin deras. Terhinggut-hinggut bahunya cuba menahan.

                “Assalamualaikum.”

           Alya berpaling ke belakang. Dia kenal suara itu. Lekas-lekas dia bingkas berdiri. Mahu berdepan dengan lelaki itu. Ya, semua ini salahnya. Salah lelaki ini yang tidak tahu sabar. Kalau bukan kerananya, Afnan pasti hidup.

                Dia berjalan menghampiri Jazlan. Sebaik sahaja berhadapan dengan Jazlan, tangan kanannya dinaikkan lalu hinggap ke pipi Jazlan. 

                  Pang!

            “Sebab kau Lan tunang aku mati! Sebab kau!”tempik Alya sekuat hati. Sudah tidak dipedulikan di mana dia berada kini. Aisyah yang terkejut dengan kehadiran tunangnya di situ segera menerpa kearah Alya. Tubuh Alya dipeluk dari belakang. Alya cuba untuk meronta. Dia masih belum puas.

                “Ya Allah, Al! Mengucap. Kau sedar tak kau kat mana ni? Awak, kan saya dah pesan tunggu di kereta? Kenapa datang juga. Emosi Al tak elok lagi ni.” Matanya mencerlung tajam memandang Jazlan di depan mata. Kan dah mendapat!

                “Al, aku nak minta maaf. Tolong, maafkan aku Al. Aku tak boleh duduk diam selagi aku tak dengar kau terima maaf aku ni,”Rayu Jazlan. Tongkat yang menyokongnya untuk berdiri dibuang ke tanah. Susah payah dia cuba melutut. Dia tak betah lagi. Kesalahannya telah membunuh sahabat baiknya sendiri dan tunang kepada gadis di hadapannya ini.

                Alya suduh melurut ke tanah. Tidak mampu berdiri lagi.

                “Kau bunuh dia Lan. Kau bunuh lelaki paling aku cinta. Separuh aku dah hilang, Lan. Apa yang kau nak aku jawab? Apa?”jawab Al dengan esakkan yang pasti saja menyayat hati sesiapa yang mendengarnya.

                “Kau buatlah apa kau nak Al. Aku tak kisah. Kau nak patahkan kaki aku sebelah lagi pun aku rela. Tapi tolong Al, tolong maafkan aku. Aku merayu. Aku tahu salah aku terlalu besar terhadap kau dan keluarga kau. Aku yang menyebabkan kematian Afnan. Maafkan aku, Al.” Jazlan sudah tunduk menyembamkan wajahnya ke tanah. Aisyah yang sejak tadi memerhati segera mendapatkan tunangnya.

                “Awak, janganlah macam ni. Dah ajal dia. Al, aku merayu…maafkan dia Al. Dia betul-betul menyesal,”pujuk Aisyah pula. Matanya yang sudah basah sejak dari tadi meraih simpati Alya. Redup pandangannya mengusik hati Alya. Nafas ditarik dalam-dalam lalu dilepaskan perlahan.

                “Aku maafkan kau Lan. Dengan satu syarat.” Lambat-lambat Alya bersuara.

                “Apa dia?” serentak Jazlan dan Aisyah bertanya.

                “Bantu aku, tolong aku supaya aku boleh teruskan hidup aku tanpa Afnan. Sebab, aku rasa aku tak mampu nak hadapi ni seorang diri. Boleh?”

                Kedua-dua orang sahabatnya itu mengukir senyuman sambil mengangguk kepala mereka. Aisyah yang sudah merah matanya itu menerpa ke dalam pelukan Alya lalu memeluk gadis itu erat-erat. Dalam hatinya dia berjanji takkan sesekali meninggalkan gadis itu sendirian. Jazlan hanya menjadi pemerhati. Dia mendongak ke langit. Dalam hatinya mengucapkan rasa syukur yang tidak terhingga. Beban perasaan ini akan mengiringnya selagi Alya tidak bertemu dengan kebahagiannya. Maafkan aku Al. Maafkan aku. Bisik hatinya perlahan.


                Cinta kau hebat Afnan, dan yang mencintai kau ini lebih lagi hebatnya. Maafkan aku. Semoga kau tenang di sana. Aku janji, aku akan jaga Alya sebaik mungkin.