Friday, 26 December 2014

Tapi Bukan Aku 1



Tahun 2008

Tanah yang masih merah itu dipandang sepi. Bunga-bunga yang ditabur sebaik sahaja talkin selesai dibacakan diramas perlahan. Air mata pula sudah lama kering di pipi. Ahli keluarganya sudah lama pulang ke rumah. Cuma dia yang masih berteleku di situ tak mahu berganjak pergi. Tadi diajak pulang bersama namun dia minta ditinggalkan di situ sendirian.

                Alya mendongak ke langit. Dilihat langit yang tadinya cerah juga sudah mula gelap. Bila-bila masa saja hujan bakal turun.

                “Afnan, kenapa pergi?”bisik Alya perlahan.

                “Saya sunyi.”Tambahnya lagi.

              “Janji awak takkan tinggalkan saya mana, Afnan? Kenapa Afnan? Siapa lagi yang tinggal untuk saya?”luahnya dengan linang air mata. Sejak tadi, rasanya dia punya banyak persoalan yang ingin ditanyakan. Namun tak terluah. Matanya dipejam rapat. Satu persatu kenangan mereka berdua terlayar di minda. Sakit. Hanya itu yang mampu disimpulkan.

                Sementara itu, awan gelap tadi sudah mula menitiskan hujan yang makin lama semakin lebat. Alya langsung tidak mempedulikannya.

                “Al, jomlah balik. Dah lebat ni hujan.” Aisyah, teman rapatnya sejak kecil datang bersama sekaki payung lalu memayungi Alya yang sudah kebasahan. Hiba hatinya melihat sahabat paling rapatnya itu berkeadaan begitu. Dia melutut di sebelah Alya. Bahu Alya dipaut lalu diusap perlahan.

                “Aku tak tau macam mana aku nak lalui hari-hari aku lepas ni Aisyah. Aku dah cuba. Tapi sakit. Kat sini. Sakit sangat.”Telapak kanannya diangkat lalu ditekap ke dada kiri. Air matanya kian lebat. Langsung tidak pernah terlintas dia akan melalui keadaan begini, di usia ini.

                Bahu Alya dipaut lebih erat. Tiada perkataan yang mampu diucapkan buat memujuk gadis ini. Dia sendiri terkejut dengan apa yang berlaku. Segalanya terlalu pantas. Mujur saja tunangnya, Jazlan cuma patah kaki kanan. Kalau tidak sudah pasti mereka berdua yang meraung di sini dan entah siapa yang mahu datang menenangkan.

                “Kalau Afnan tengok kau macam ni Al, mesti dia sedih. Kau kan kuat. Kau mampu. Tak kisah apa pun yang berlalu lepas ni, aku yakin kau mampu lalui dengan tabah. Jangan macam ni Al,”pujuk Aisyah lembut dengan harapan kata-kata semangat yang dititipkan mampu meresap masuk ke sanubari Alya.

                Alya hanya mematungkan diri. Dia dengar apa yang dikatakan Aisyah. Dan dia sedar yang gadis itu berusaha untuk menenangkan hatinya. Tapi, dia tak mampu. Dalam keadaan begini, pakar motivasi apa pun cuba yang menasihatinya, pasti tak berhasil. Air mata yang mengalir tak mahu berhenti. Esaknya semakin deras. Terhinggut-hinggut bahunya cuba menahan.

                “Assalamualaikum.”

           Alya berpaling ke belakang. Dia kenal suara itu. Lekas-lekas dia bingkas berdiri. Mahu berdepan dengan lelaki itu. Ya, semua ini salahnya. Salah lelaki ini yang tidak tahu sabar. Kalau bukan kerananya, Afnan pasti hidup.

                Dia berjalan menghampiri Jazlan. Sebaik sahaja berhadapan dengan Jazlan, tangan kanannya dinaikkan lalu hinggap ke pipi Jazlan. 

                  Pang!

            “Sebab kau Lan tunang aku mati! Sebab kau!”tempik Alya sekuat hati. Sudah tidak dipedulikan di mana dia berada kini. Aisyah yang terkejut dengan kehadiran tunangnya di situ segera menerpa kearah Alya. Tubuh Alya dipeluk dari belakang. Alya cuba untuk meronta. Dia masih belum puas.

                “Ya Allah, Al! Mengucap. Kau sedar tak kau kat mana ni? Awak, kan saya dah pesan tunggu di kereta? Kenapa datang juga. Emosi Al tak elok lagi ni.” Matanya mencerlung tajam memandang Jazlan di depan mata. Kan dah mendapat!

                “Al, aku nak minta maaf. Tolong, maafkan aku Al. Aku tak boleh duduk diam selagi aku tak dengar kau terima maaf aku ni,”Rayu Jazlan. Tongkat yang menyokongnya untuk berdiri dibuang ke tanah. Susah payah dia cuba melutut. Dia tak betah lagi. Kesalahannya telah membunuh sahabat baiknya sendiri dan tunang kepada gadis di hadapannya ini.

                Alya suduh melurut ke tanah. Tidak mampu berdiri lagi.

                “Kau bunuh dia Lan. Kau bunuh lelaki paling aku cinta. Separuh aku dah hilang, Lan. Apa yang kau nak aku jawab? Apa?”jawab Al dengan esakkan yang pasti saja menyayat hati sesiapa yang mendengarnya.

                “Kau buatlah apa kau nak Al. Aku tak kisah. Kau nak patahkan kaki aku sebelah lagi pun aku rela. Tapi tolong Al, tolong maafkan aku. Aku merayu. Aku tahu salah aku terlalu besar terhadap kau dan keluarga kau. Aku yang menyebabkan kematian Afnan. Maafkan aku, Al.” Jazlan sudah tunduk menyembamkan wajahnya ke tanah. Aisyah yang sejak tadi memerhati segera mendapatkan tunangnya.

                “Awak, janganlah macam ni. Dah ajal dia. Al, aku merayu…maafkan dia Al. Dia betul-betul menyesal,”pujuk Aisyah pula. Matanya yang sudah basah sejak dari tadi meraih simpati Alya. Redup pandangannya mengusik hati Alya. Nafas ditarik dalam-dalam lalu dilepaskan perlahan.

                “Aku maafkan kau Lan. Dengan satu syarat.” Lambat-lambat Alya bersuara.

                “Apa dia?” serentak Jazlan dan Aisyah bertanya.

                “Bantu aku, tolong aku supaya aku boleh teruskan hidup aku tanpa Afnan. Sebab, aku rasa aku tak mampu nak hadapi ni seorang diri. Boleh?”

                Kedua-dua orang sahabatnya itu mengukir senyuman sambil mengangguk kepala mereka. Aisyah yang sudah merah matanya itu menerpa ke dalam pelukan Alya lalu memeluk gadis itu erat-erat. Dalam hatinya dia berjanji takkan sesekali meninggalkan gadis itu sendirian. Jazlan hanya menjadi pemerhati. Dia mendongak ke langit. Dalam hatinya mengucapkan rasa syukur yang tidak terhingga. Beban perasaan ini akan mengiringnya selagi Alya tidak bertemu dengan kebahagiannya. Maafkan aku Al. Maafkan aku. Bisik hatinya perlahan.


                Cinta kau hebat Afnan, dan yang mencintai kau ini lebih lagi hebatnya. Maafkan aku. Semoga kau tenang di sana. Aku janji, aku akan jaga Alya sebaik mungkin. 

No comments:

Post a Comment